Ahad, 4 September 2011

Asal Usul Baris Arab & al-Quran




Huruf-huruf Arab pada zaman Jahiliyyah dan pada zaman permulaan Islam tidak mempunyai baris. Orang Arab dengan sendirinya dapat menuturkan perkataan dengan tepat tanpa berpandukan kepada titik dan baris sebagai tanda bacaan kerana pengetahuan mereka terhadap bahasa mereka.
Namun, apabila wilayah Islam semakin luas, dibimbangi orang ‘Ajam yang tidak menguasai bahasa Arab akan melakukan kesilapan dalam membaca al-Quran, lalu usaha meletakkan titik dan baris pada huruf-huruf Arab pun dilakukan, terutamanya untuk memelihara daripada berlakunya kesilapan dalam membaca al-Quran.
Diriwayatkan bahawa Muawiyah Bin Abi Sufian telah menempelak Ziyad Bin Abihi yang merupakan gabenor Basrah ketika itu, ekoran anak Ziyad yang bernama Ubaidullah melakukan kesalahan ketika bercakap (tidak fasih dan menuturkan perkataan dengan secara tidak tepat). Sehubungan dengan itu, Ziyad Bin Abihi telah memberikan tanggungjawab kepada Abu Aswad ad-Du’ali (أبو الأسود الدؤلي ) untuk mencari jalan dengan meletakkan kaedah tertentu untuk memperbaiki bacaan al-Quran.
Pada mulanya, Abu Aswad ad-Du’ali enggan dan takut untuk meletakkan sebarang kaedah pada tulisan al-Quran kerana bimbang dengan perbuatan menambah sesuatu kepada al-Quran. Ziyad telah cuba meyakinkan Abu Aswad dengan hujah bahawa Saidina Uthman Bin Affan telah memerintahkan agar ditulis mushaf, walaupun sebelumnya ia tidak tertulis. Abu Aswad tetap menolak permintaan Ziyad itu kerana tidak berani melakukan sedemikian.
Namun, pendirian Abu Aswad berubah apabila mendengar seorang lelaki membaca al-Quran dengan baris yang silap pada ayat (إن الله بريء من المشركين ورسوله ). Huruf lam (ل ) pada perkataan (رسوله ) sepatutnya dibaca dengan baris bawah (كسرة ), tetapi lelaki tersebut telah membacanya dengan baris hadapan (ضمة ). Lantas, Abu Aswad mengasaskan teknik meletakkan baris pada ayat al-Quran.
Teknik perletakan baris yang dilakukan oleh Abu Aswad tidak sama dengan baris yang ada pada hari ini. Ini kerana baris yang dibuat oleh Abu Aswad adalah dalam bentuk titik yang ditulis dengan dakwat merah. Bagi menunjukkan baris atas (فتحة ), diletakkan satu titik di atas huruf dan diletakkan titik di bawah huruf bagi menunjukkan baris bawah (كسرة ).
Selepas itu, dua orang anak murid Abu Aswad iaitu Nasr Bin ‘Asim (نصر بن عاصم ) dan Yahya Bin Ya’mar (يحي بن يعمر ) telah mengasaskan titik bagi membezakan huruf-huruf Arab yang sebelumnya tidak bertitik. Titik yang diasaskan ini ialah untuk membezakan huruf yang mempunyai bentuk yang serupa seperti ba, ta dan tha (ب، ت، ث ).
Seterusnya, pada zaman Kerajaan Abbasi, al-Khalil Bin Ahmad al-Farahidiy (الخليل بن أحمد الفراهيدي ) telah menukar bentuk baris supaya tidak berlaku kekeliruan di antara titik huruf dan titik baris. Teknik yang digunakan oleh al-Khalil Bin Ahmad dalam meletakkan baris ialah diletakkan huruf alif kecil yang condong bagi menunjukkan baris atas (فتحة ), huruf Ya (ي ) kecil di bawah huruf bagi menunjukkan baris bawah (كسرة ), dan huruf Waw (و ) kecil di atas huruf bagi menunjukkan baris hadapan (ضمة ). Teknik yang diperkenalkan oleh al-Khalil ini tidaklah terlalu berbeza dengan system baris yang ada pada hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan