Ilmu sharaf, nahu penting dalam Islam
ILMU sharaf dan ilmu nahu, kedua-duanya adalah asas paling penting bagi seseorang mendalami pelbagai ilmu dalam Islam. Ramai ulama berpendapat bahawa "ilmu sharaf adalah ibu ilmu" dan "ilmu nahu adalah bapa ilmu."
Dalam artikel ini diperkenalkan beberapa judul ilmu sharaf yang ditulis oleh ulama yang berasal dari dunia Melayu. Mereka menyebarkan ilmu itu bukan saja pada peringkat lokal dunia Melayu, malah terserlah dan tersebar pada peringkat dunia antarabangsa.
Ulama berasal dari dunia Melayu yang pertama menyusun ilmu sharaf dan karyanya diajar di pelbagai pondok di dunia Melayu ialah oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Karya ilmu sharaf Syeikh Nawawi al-Bantani mengandungi dua naskhah iaitu ar-Riyadh al-Fuliyah (tanpa tarikh). Dicetak Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Wan Sufyan, No. 1235 Kota Bharu, Kelantan, 30 Rejab 1351.
Sebuah lagi ialah Al-Fushushul Yaqutiyah 'ala ar-Raudhah al-Bahiyah (tanpa tarikh). Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah bil Kahkain, Mesir, atas perbelanjaan Syeikh 'Abdul Ghani dan saudaranya Syeikh 'Abdul Ghaffar di pejabat Muhammad Afandi Mushthafa dan syarikat. Cetakan pertama pada Syaaban 1299, ditashhih oleh Ahmad bin Mushthafa.
Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun ilmu sharaf sekurang-kurangnya lima judul. Tiga judul ditulis dalam bahasa Arab tanpa terjemahan ke bahasa Melayu iaitu Abniyah al-Asma' wa al-Af'al, Matn al-Madkhal fi 'Ilm ash-Sharfi dan Al-Ibriz ash-Shirfi fi Fann ash-Sharfi. Penulisannya diselesaikan pada Isnin, 4 Jamadilawal 1308/16 Disember 1890.
Dua judul dikarang dalam bahasa Arab dan diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu iaitu 'Ilm ash-Sharf, diselesaikan penulisannya pada Isnin, 21 Syaaban 1317/25 Disember 1899 dan Matnu Dhamm wa Madkhal.
Selain dinyatakan di atas, Syeikh Abi Hamid Muhammad bin al-Qadhi Muhammad Ilyas al-Jawi al-Qandali (Kendal, Jawa) juga menulis matan (teks) sharaf berjudul As-Sulsul al-Madkhal fi 'Ilm ash-Sharfi, tanpa dinyatakan tahun. Risalah ini ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi dan Syeikh 'Abdur Rahim bin Yusuf al-Azhari al-Hanafi.
Pada bahagian lain dipuji oleh Syeikh 'Abdul Hamid Kudus dan Syeikh Ja'afar al-Bani. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kitab l-'Arabiyah pada 1338 hijrah/1920 masihi dan Mathba'ah at-Taqaddum al-'Ilmiyah, awal Syawal 1345.
Rasanya tidak kurang penting sebuah ilmu sharaf yang ditulis oleh Tok Kenali iaitu Madkhal Kamil fi 'Ilm ash-Sharfi. Ia diselesaikan pada 15 Rabiulawal 1351. Kitab ini juga karya tashhih mengenai ilmu sharaf yang dikatakan sebagai karya salah seorang ulama yang 'allamah. Kemungkinan maksudnya dari guru beliau, Syeikh Ahmad al-Fathani iaitu karya berjudul Abniyah al-Asma' wa al-Af'al. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya ilmu sharaf berupa syarah diselenggarakan oleh Syeikh 'Abdul Haq bin 'Abdul Mannan al-Bantani dengan judul Tadrij al-Adaniyi ila Qiraah Syarh as-Sa'adi 'ala Tashrif az-Zanjaniyi. Penulisannya bermula pada pertengahan Rabiulakhir 1319 dan selesai pada 12 Ramadan 1319.
Kitab ini adalah syarah karya Syeikh Sa'aduddin Mas'ud ibnu 'Umar al-Qadhi at-Taftazani. Cetakan pertama Mathba'ah Dar Ihya' Al-Kutub Al-'Arabiyah, Mesir, Rabiulawal 1348.
Syeikh 'Utsman Jalaluddin Penanti al-Kalantani adalah salah seorang murid Tok Kenali. Beliau menyambung penulisan Tok Kenali. Ada dua ilmu sharaf yang beliau susun.
Pertama, Tathrif al-'Araf fi Tashrif ash-Sharaf, diselesaikan pada 23 Zulhijah 1354/15 Februari 1935. Cetakan pertama Mathba'ah Persama, 83 Achen Street, Pulau Pinang pada 1354 hijrah. Cetakan kedua oleh percetakan yang sama pada 1358 hijrah dijadikan dua juzuk (bahagian). Juzuk pertama dan kedua dalam satu jilid. Juzuk ketiga dalam jilid yang lain.
Karya ilmu sharaf Syeikh 'Utsman Jalaluddin yang kedua ialah asy-Syarhul Kabir, diselesaikan Sabtu, 16 Syaaban 1358/30 September 1939. Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83 Achen Street, Pulau Pinang, Ramadan 1358/Oktober 1939.
Daripada dua karya ilmu sharaf Syeikh 'Utsman Jalaluddin seperti yang disebutkan di atas bererti ada persamaannya dengan Tuan Guru Abdullah Tahir. Kedua-duanya murid Tok Kenali yang meneruskan dan mengangkat nama gurunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan