Rabu, 30 Mac 2011

Abu Amru pakar ilmu nahu

SENARAI urutan Qura Tujuh yang dibuat oleh Imam Syatibiy (meninggal pada tahun 590 hijrah) menjadikan Imam Abu Amru berada pada giliran yang ketiga.
Senarai tersebut diterima pakai oleh seluruh pengkaji ilmu Qiraat di mana urutan senarai dimulai dengan Imam Nafie yang mewakili kota Madinah al-Munawarah, diikuti Imam Ibnu Kathir yang mewakili kota Mekah al-Mukarramah dan seterusnya Imam Abu Amru Ibn al-Ala al-Basri yang mewakili kota Basrah.
Basrah adalah kota Islam yang terkenal satu masa dahulu. Ramai para sahabat yang datang ke sini menyebar dakwah Islam.
Natijah daripada hasil dakwah tersebut, maka lahirlah ramai ulama tabien yang terkenal antaranya ialah Imam Hasan al-Basri yang masyhur dalam beberapa disiplin ilmu antaranya hadis, fiqh dan al-Quran.
Dalam bidang al-Quran di kota Basrah, ramai ulama yang memberi sumbangan pengajaran tetapi yang paling masyhurnya ialah Imam Abu Amru Ibn al-Ala al-Basri.
Sorotan yang dibuat kepada tulisan tentang biodata Imam Abu Amru mendapati, beliau merupakan tokoh ulama yang mempunyai kepakaran dalam banyak bidang.
Ketinggian ilmunya menjadikan muridnya Yunus Ibn Habib memujinya dengan berkata jika dibahagikan ilmu Abu Amru dan zuhudnya kepada seratus manusia nescaya mereka semua akan menjadi ulama yang zahid.
Demi Allah, jika sekiranya Rasulullah SAW melihatnya nescaya Baginda gembira melihatnya.
Imam Abu Amru lahir pada tahun 68 hijrah dan meninggal pada tahun 154 hijrah. Guru yang paling ramai antara tujuh Qurra ialah Imam Abu Amru.
Antara gurunya ialah Imam Hasan al-Basri, Abi al-Aliyah, Said Ibnu Jubair, Asim Ibnu Abi al-Najud, Ibnu Kathir al-Makki dan lain-lain. Beliau juga sempat belajar dengan beberapa orang sahabat r.a antaranya Anas Ibnu Malik r.a.
Selepas beliau mempelajari banyak ilmu di kota Islam yang masyhur ketika itu seperti Mekah, Madinah, Kufah dan Basrah sampailah waktunya beliau mencurah ilmu kepada orang ramai.
Antara muridnya yang masyhur ialah Abu Zaid al-Ansari, al-Asmuei, Sibawaih, Khalil Ibnu Ahmad, Yunus Ibnu Habib, al-Akhfasy dan lain-lain.
Nama Imam Abu Amru juga amat terkenal dalam bidang ilmu tata bahasa arab atau disebut ilmu nahu. Cukuplah dengan Khalil Ibn Ahmad dan Sibawaih yang merupakan rujukan utama dalam ilmu nahu. Dan mereka berdua adalah hasil didikan atau anak didik Imam Abu Amru.
Sewaktu dahulu ramai ulama yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu. Mereka bukan hanya alim dalam satu ilmu sahaja tetapi menekuni juga ilmu lain.
Dalam ilmu Qiraat sememangnya mempunyai kaitan yang rapat dengan ilmu tata bahasa arab. Amat bertepatan satu masa dahulu di Universiti al-Azhar, Jabatan Qiraat diletak di bawah Fakulti Bahasa Arab.
Namun sekarang, keadaan sudah berubah di mana yang alim dalam disiplin tata bahasa arab tidak lagi mendalami dalam bidang ilmu Qiraat. Sama juga dengan yang mengikuti pengajian ilmu Qiraat tidak lagi menekuni ilmu tata bahasa Arab.
Justeru, jika ada peluang dan ruang tekunilah dua bidang ini dan jadikan ia dua ilmu yang melengkapi antara satu sama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan