Rabu, 30 Mac 2011

Teknik Penerapan Bahasa Arab yang Baik untuk Anak-Anak


Kenapa Bahasa Arab?

‘Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya’. ( surahYusuf, ayat  ke- 2)

‘Cintailah bahasa Arab kerana tiga perkara. Pertama, bahawa aku (nabi Muhammad s.a.w) adalah orang Arab. Kedua, bahawa al-Quran adalah bahasa Arab dan ketiga, bahasa penghuni syurga di dalam syurga adalah bahasa Arab’. (Hadith riwayat at-Thabrani)

Teknik permulaan untuk ibu bapa menerapkan bahasa arab yang baik di kalangan anak-anak seusia muda mereka.

Bahasa Arab seperti juga bahasa-bahasa yang lain. Ianya perlu pada penyerapan dari seusia muda lagi, tetapi dalam keadaan kita tinggal dalam suasana bandar Singapura yang membangun ini yang mana bahasa Inggeris menjadi bahasa terpenting dalam berkomunikasi di samping bahasa Ibunda sendiri, Bahasa Arab atau mungkin bahasa-bahasa yang lain menjadi bahasa ketiga dan pastinya sebahagian ibu bapa merasakan ianya agak sukar dipraktikkan kecuali pada mereka yang berlatarbelakangkan bahasa tersebut.

Di sini ada beberapa tips untuk dikongsi sama oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka terus mencintai bahasa Al-Quran ini tanpa menolak era globalisasi ini.

Pertama: Menguasai huruf-huruf al-quran, membaca dengan baik dan bertajwid merupakan langkah dan tangga pertama untuk mencintai bahasa ini.

Kedua: Tuliskan dan tampal atas perkara-perkara asas yang mereka selalu gunakan dan lihat seperti (مرسم) , (مسطرة) dan lain-lain alat tulis mereka, (سريرٌ) , (مكتبٌ) di bilik tidur mereka… Biarkan dua tiga minggu kemudian ubah perkataan lain dan tampal lagi. Dengan cara ini secara tidak langsung, mata terlihat, lidah terbaca dan sekaligus terakam di benak fikiran mereka.

Ketiga: Langkah seterusnya, galakkan mereka menggunakan perkataan –perkataan tersebut di dalam ayat-ayat bahasa arab yang mudah walaupun seringkas ini, contohnya: (هذا مرسم- تِلكَ  مسطرة) … yang membawa maksud “ Ini pensil – Itu pembaris “.. Beri pujian yang ikhlas kalau mereka mampu berbuat sedemikian.

Pelajar di peringkat rendah 1, 2 dan 3 hatta di tadika sekali pun, mereka mempunyai banyak sekali perbendaharaan kata bahasa arab yang mereka dapat di sekolah, tetapi hilang begitu sahaja bila mereka berada di peringkat darjah 4 ke atas, yang sepatutnya semakin tinggi semakin baik pengguasaannya  tetapi sebaliknya berlaku.

Punca utama permasalahan ini ialah mereka tidak diajar dan diarah oleh orang yang lebih dewasa, khususnya ibu bapa dalam penggunaannya.. Terapkan perkataan-perkataan yang diperolehi di dalam potongan ayat yang pendek dan mudah. Dengan cara ini anak akan lebih terdorong untuk lebih menghargai bahasa ini.

Keempat: Pada usia mereka 9 tahun (darjah 3), anak tersebut sudah mula semakin dewasa untuk lebih memahami, sediakan satu buku catatan kecil (note book), ajar mereka untuk mencatat perkataan-perkataan baru yang mereka agak tertarik yang di ajar di sekolah.

Menyuruh mereka mencatat perkataan yang disukai dan menarik dari pandangannya lebih baik dari dipaksa mereka menulis semua perkataan baru yang mereka belajar di sekolah..Sekali lagi tidak perlu memaksa dan menekan mereka, ibu bapa boleh cuba bertindak balas dengan menyemak buku catatan mereka tanpa pengetahuan mereka dan cuba gunakan perkataan yang mereka tulis itu secara tidak rasmi dengan bertanya dengan pelbagai cara, dengan cara ini bila anak mampu menjawap, secara tidak langsung akan menaikkan lagi motivasi mereka untuk mencintai bahasa ini.

Saya yakin bila anak sudah mula mencintai bahasa arab ini yang telah disemai oleh ibu bapa di rumah  secara tidak langsung anak tersebut akan sentiasa menghargainya dan dahagakan ianya lagi, lagi dan lagi….

Tugas kita sebagai ibu bapa sekadar menyuntik mereka untuk mencintai bahasa al-Quran ini, dan asatizah di madrasah akan membajainya supaya menjadi subur , bila cinta telah berputik , dibajai dan disiram  ianya akan mekar indah dengan sendirinya, insya-Allah.

Ingatlah pesanan sahabat Umar Ibnu Al-Khattab radiallahu’anhu: ‘Bersemangatlah di dalam mempelajari bahasa Arab, kerana sesungguhnya bahasa Arab adalah sebahagian dari ugama mu.

Asy Syahid Imam Hassan Al-Banna juga ada mewasiatkan kepada kita: ‘Bercakaplah dengan menggunakan bahasa Arab fuskha (Arab Al-Quran) kerana ini merupakan bahagian dari syiar Islam.

Selamat Mencuba!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan